Thursday, 15 October 2015 @ 03:26 Kampung Pondok Labu Hujung Keladi terletak dalam Mukim Keladi, Daerah Kulim, Kedah. Kampung ini mempunyai 150 buah rumah dengan bilangan penduduknya seramai 700 orang.Seperti yang diceritakan oleh orang-orang tua, nama kampung ini adalah berasal dari kisah buah labu. Pada hujung tahun 1800 Masihi, seorang yang dikenali sebagai Tok Abas dan keluarganya telah meneroka sebidang tanah bersempadan dengan Seberang Perai. Beliau mendirikan sebuah pondok kecil sebagai tempat kediamannya sekeluarga. Pada ketika itu, beliau hanya mengusahakan tanaman padi huma, jagung, dan labu sebagai punca rezeki mereka sekeluarga. Tanaman yang diusahakan itu tumbuh dengan subur termasuk pokok labu yang menjalar hingg melingkari bumbung pondok kediaman Tok Abas dan mengeluarkan buah yang banyak. Disebabkan tanahnya yang subur, semakin hari semakin ramai orang yang berhijrah untuk mendiami kampung ini. Mereka kemudiannya bermuafakat dan bersetuju untuk menamakan kampung ini sebagai Kampung Pondok Labu sempena peristiwa pokok labu yang melingkari pondok keluarga Tok Abas. Bagi menentukan kesinambungan kemajuan, keselamatan, dan keharmonian penduduk, kampung ini kini ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) 1989. |